24 Oktober 2010

1 MALAYSIA: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak merupakan gagasan untuk membawa rakyat ke arah perpaduan yang lebih erat dengan perkongsian sumber-sumber alam serta pembangunan yang lebih adil agihannya.
Sayangnya, setelah 47 tahun pembentukan Malaysia, kekayaan sumber alam Sabah dan Sarawak tidak dimaanfatkan dengan adil dan sempurna. Sehingga hari ini masih ramai rakyat Malaysia di kedua-dua negeri itu hidup dalam keadaan daif dan menyedihkan. Dalam pada itu pula, ada juga pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan besar dari kedua-dua negeri itu tanpa mempedulikan nasib rakyat anak negeri.
Di satu sudut, ada pihak di Semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali. Di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Pusat tidak boleh menganaktirikan Sabah dan Sarawak. Ia perlu memastikan kedua-dua negeri ini menikmati peluang-peluang pendidikan, pekerjaan, pelaburan dan bisnis yang sama sebagaimana yang dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung. Malah, lebih dari itu, Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian yang lebih atas kedudukan mereka sebagai rakan kongsi atau "partner" kepada Semenanjung mengikut Perjanjian Malaysia 1963.
Ada pihak mahu Sabah dan Sarawak memansuhkan apa yang dikatakan sebagai sekatan-sekatan untuk melindungi anak negeri dalam Perjanjian Malaysia, kononnya untuk membolehkan mereka menikmati peluang ekonomi. Golongan ini hanya nampak "sekatan" tetapi tidak melihat tindakan berat sebelah Kerajaan Pusat dan masalah pentadbiran tidak telus serta korupsi kepimpinan negeri yang bersekongkol dengan pucuk pimpinan Pusat.
Golongan ini bermati-matian mahu mempertahankan kedudukan istimewa kaum dan apa yang mereka sebut sebagai kontrak sosial kerana menganggap ia adalah sejarah penting. Tetapi mereka tiba-tiba lupa kepada sejarah apabila ia menyentuh tentang hak-hak asasi Sabah dan Sarawak Mereka seolah-olah lupa kepada Perjanjian Malaysia.
Jika ada di kalangan kita yang mahu Sabah dan Sarawak mengikis sikap parochial dan kenegerian, kita di Semenanjung juga tidak boleh bersikap parochial dan tidak lagi memandang rendah kepada kedua-dua negeri itu. Apabila semua pihak bersetuju untuk membuang sikap memperjuangkan satu kaum atau satu negeri dan akhirnya bersikap terbuka menerima pandangan orang lain, hanya pada saat itu kita akan benar-benar merdeka sebagai satu entiti yang bernama Malaysia.

Sabah Terus Terpinggir

Setelah hampir 50 tahun Sabah menyertai Malaysia, negeri Sabah masih terus kekal negeri termiskin di negara ini. Dengan kadar kemiskinan sebanyak 16%, sebahagian rakyat negeri Sabah masih hidup seperti di zaman pra kemerdekaan. Bayangkanlah disaat orang lain bercakap akan kehebatan media baru seperti facebook, blog, twitter, youtube dan email, masih ada rakyat di negeri ini terkial-kial meneruskan kehidupan tanpa bekalan letrik, tanpa bekalan air bersih, tanpa jalanraya berturap malah anak-anak mereka tercicir daripada arus pendidikan negara atas faktor kemiskinan.
Sehingga hari ini masih banyak bangunan sekolah dalam keadaan daif, kerusi meja yang usang dan rosak, dinding dan syiling yang menunggu masa untuk runtuh, masalah kekurangan bilik darjah, masalah kekurangan guru, masalah ketiadaan rumah guru, masalah tiada asrama, masalah tiada kemudahan dan kelengkapan pendidikan seperti makmal, pusat sumber dan pelbagai lagi masalah yang terus berulang setiap tahun.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi telah membuat lawatan selama tiga hari ke lima buah sekolah di pedalaman Pensiangan yang hanya boleh dikunjungi melalui jalan darat dan tiga batang sungai dengan menaiki bot.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah isteri Puad, Dr. Rubiah Leman, Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhidin Yusin, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk dan rombongan dari kementerian.

Di SK Tinanduk (gambar – kiri) hanya mempunyai satu blok bangunan lama yang diperbuat daripada kayu. Bangunan kayu tersebut menempatkan dua bilik darjah dan sebuah bilik guru selain tidak memiliki apa-apa kemudahan lazimnya bagi sekolah termasuk padang atau bilik sumber. Disitu Puad melihat sendiri sebuah bilik darjah yang dibina oleh orang kampung dan guru.
Puad mengakhiri lawatan beliau ke SK Saliliran. Untuk sampai ke SK Saliliran, rombongan perlu menggunakan laluan sungai sebelum berjalan kaki selama lebih enam jam bermula dari pengkalan Kampung Sinipar melalui jalan hutan.
“Saya terbaring dalam lumpur sebanyak empat kali akibat keletihan. Ini adalah pertama kali saya berjalan dalam hutan pada waktu malam, perjalanan ini membuatkan saya hampir pengsan,” kata Puad.
Rombongan beliau sampai ke sekolah tersebut walaupun tersesat kira-kira pukul 12 malam dan disambut oleh penduduk kampung dan murid-murid yang masih lagi lengkap dengan pakaian sekolah.
Inilah hakikat dialami oleh rakyat Sabah di bumi merdeka. Apapun alasan yang diberi hakikatnya selepas 47 tahun kerajaan BN gagal menyediakan keperluan dan kemudahan asas kepada kepada rakyat Sabah.
Amat malang Sabah adalah salah sebuah negeri pengeluar petroleum Negara. Malah Sabah adalah pengeluar minyak sawit terbesar negara tetapi agak malang negerinya masih kekal negeri termiskin. Kemana perginya semua hasil kekayaan semulajadi negeri ini? Kenapa hasil kekayaan sumber asli ini tidak dapat membantu rakyat negeri ini keluar dari kepompong kemiskinan?
Kita masih ingat sewaktu kempen UMNO dan Barisan Nasional semasa pilihanraya negeri 1994, BN menjanjikan Sabah baru yang serba indah. Diantara janji BN ialah Universiti untuk Sabah, 100 hari pembangunan, sifar kemiskinan, sifar buta huruf dan jalanraya berturap.
Namun selepas 14 tahun berlalu, penduduk diluar bandar masih menanti semua janji-janji Sabah Baru. Manakala penduduk Bandar terus dihimpit dengan masalah kos sara hidup yang tinggi sehinggakan rumah bersaiz 500 kaki persegi mencecah lebih RM 140,000 sebuah.
Maka apa makna Sabah negeri simpanan tetap Barisan Nasional sedangkan masih ramai warganegara negeri ini hidup dengan kualiti hidup seperti negara dunia ketiga? Bagaimana pula dengan keadaan negeri Sabah pada tahun 2020 nanti ketika mana Malaysia sudah mencapai status Negara maju sedangkan masih ramai rakyat Sabah hidup terpinggir?

Kenapa Rakyat Sabah Tidak Terbela?

Sabah, sebagai sebuah negara bekas jajahan British mendapat hak kemerdekaan mereka pada Ogos 31, 1963 dan kemudiannya, pada September 16, 1963 ia bergabung dengan Malaya, Singapura dan Sarawak bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia.

Sewaktu pemasyuran kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Sabah kini bebas dan tidak lagi menjadi sebahagian jajahan British. Rakyat Sabah pada waktu itu bergembira akan perisytiharan Sabah dan sudah tentu kemerdekaan sedemikian menjanjikan rezeki yang melimpah ruah bagi generasi mendatang.

Sebenarnya Sabah sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli – petroleum, gas, pembalakan, baja, tanah pertanian dan potensi pelancongan.

Dengan populasi sejumlah tiga juta, Sabah sepatutnya menawarkan pelbagai ruang pembangunan dalam sektor-sektor yang dinyatakan. Tetapi, apa yang nyata ialah Sabah hari ini sebuah negeri termiskin (berdasarkan laporan Rancangan Malaysia).

Kayu-bayu balak ditebang secara rakus tanpa pengurusan pengelestarian yang cekap.

Lebih daripada lapan peratus pembangunan tanah pertanian bagi perladangan kelapa sawit dimiliki oleh syarikat dari Semenanjung Malaysia.

Sabah merupakan pegeluar sumber ketiga terbanyak di Malaysia, yang mana ia menghasilkan 60% daripada pengeluaran datangnya dari negeri itu iaitu kira-kira 73,000 tong sehari.

Persoalannya: Mengapakah Sabah menduduki antara tangga tertinggi dalam kadar kemiskinan rakyatnya? Adakah negeri itu tidak mendapat bahagian mereka daripada kekayaan tersebut atau menjadi mangsa kepada pengurusan yang salah atau kedua-duanya sekali?