02 April 2011

PETUA CEMERLANG KERTAS 1 BAHASA MELAYU SPM

Kertas 1 BM SPM merupakan kertas yang wajib dijawab oleh setiap calon yang mengambil kertas BM SPM. Kertas ini mengandungi dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B, yang kedua-duanya mesti dijawab. Memberikan 130 markah kesemuanya.

BAHAGIAN A
- Mengandungi satu soalan dan wajib dijawab.
- Berdasarkan bahan rangsangan seperti gambar, carta, petikan ringkas, petikan dialog, ilustrasi
kartun dan sebagainya.
- Memerikan 30 markah kesemuanya.
- Masa yang dicadangkan untuk menjawab 45 minit.

BAGAIMANA DAPATKAN MARKAH CEMERLANG BAHAGIAN INI?
- Fahami apa yang soalan minta.
- Soalan ini, soalan terus, calon jawab apa yang soalan minta.
- Calon tidak dibenarkan menjawab dalam bentuk cerita atau karangan yang berformat(surat
kiriman rasmi, tidak rasmi, syarahan, pidato, ceramah, wawancara, laporan dan sebagainya)
- Karangan mesti mencapai 200 ke atas patah perkataan.
- Karangan mesti ada pendahuluan, isi dan penutup.
- Isi karangan mesti dihuraikan dengan jelas dan matang serta contoh yang tepat.
- Pengolahan karangan menarik iaitu satu perenggan mesti satu isi yang dihuraikan dengan jelas
serta contoh. Jangan ada lebih satu isi dalam satu perenggan.
- Kosa kata luas, memasukkan ungkapan atau peribahasa atau kata-kata hikmat yang tepat.
- Bahasa gramatis iaitu tidak ada kesalahan dari segi tatabahasa, ejaan dan tanda baca.
- Tiada Penolakan markah untuk kesalahan ejaan atau tatabahasa pada bahagian ini.

BAHAGIAN B.
- Mengandungi 5 soalan, jawab satu soalan sahaja.
- Memberikan 100 markah.
- Masa yang dicadangkan untuk menjawab 1 jam 30 minit.

BAGAIMANA DAPATKAN MARKAH YANG CEMERLANG BAHAGIAN INI?
- Soalan berdasarkan aras senang, sederhana dan tinggi.
- Soalan 1 aras senang (Dimensi Diri)
- Soalan 2 aras sederhana (Dimensi Masyarakat)
- Soalan 3 aras sederhana (Dimensi Negara)
- Soalan 4 aras tinggi (Dimensi global)
- Soalan 5 Flieksibel boleh aras senang, sederhana atau tinggi (Dimensi Sastera-Estetika)
- Calon mesti pilih soalan yang betul-betul boleh dijawab.
- Panjang karangan mesti mencapai lebih 350 patah perkataan yang terdiri daripada
pendahuluan, isi dan penutup.
- Pengolahan yang menarik, iaitu satu perenggan hanya ada satu isi yang dihuraikan
dengan jelas dan matang, contoh yang tepat. Jangan terdapat lebih satu isi dalam satu
perenggan.
- Kosa kata luas, memasukkan ungkapan atau peribahasa atau kata-kata hikmat yang
tepat dan sesuai dengan karangan.
- Bahasa gramatis iaitu tidak ada kesalahan tatabahasa, ejaan dan tanda baca.
- Penolakan tiga markah keseluruhannya akan dibuat untuk kesalahan ejaan iaitu setengah
markah untuk satu kesalahan ejaan. Tidak akan ditolak markah untuk kesalahan ejaan
yang sama.
- 2 markah keseluruhan akan ditolak untuk kesalahan format bagi karangan yang berformat.
- Keseluruhan markah akan tolak adalah 5 markah iaitu 3 kesalahan ejaan dan 2 kesalahan
format.

24 Oktober 2010

1 MALAYSIA: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak merupakan gagasan untuk membawa rakyat ke arah perpaduan yang lebih erat dengan perkongsian sumber-sumber alam serta pembangunan yang lebih adil agihannya.
Sayangnya, setelah 47 tahun pembentukan Malaysia, kekayaan sumber alam Sabah dan Sarawak tidak dimaanfatkan dengan adil dan sempurna. Sehingga hari ini masih ramai rakyat Malaysia di kedua-dua negeri itu hidup dalam keadaan daif dan menyedihkan. Dalam pada itu pula, ada juga pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan besar dari kedua-dua negeri itu tanpa mempedulikan nasib rakyat anak negeri.
Di satu sudut, ada pihak di Semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali. Di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Pusat tidak boleh menganaktirikan Sabah dan Sarawak. Ia perlu memastikan kedua-dua negeri ini menikmati peluang-peluang pendidikan, pekerjaan, pelaburan dan bisnis yang sama sebagaimana yang dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung. Malah, lebih dari itu, Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian yang lebih atas kedudukan mereka sebagai rakan kongsi atau "partner" kepada Semenanjung mengikut Perjanjian Malaysia 1963.
Ada pihak mahu Sabah dan Sarawak memansuhkan apa yang dikatakan sebagai sekatan-sekatan untuk melindungi anak negeri dalam Perjanjian Malaysia, kononnya untuk membolehkan mereka menikmati peluang ekonomi. Golongan ini hanya nampak "sekatan" tetapi tidak melihat tindakan berat sebelah Kerajaan Pusat dan masalah pentadbiran tidak telus serta korupsi kepimpinan negeri yang bersekongkol dengan pucuk pimpinan Pusat.
Golongan ini bermati-matian mahu mempertahankan kedudukan istimewa kaum dan apa yang mereka sebut sebagai kontrak sosial kerana menganggap ia adalah sejarah penting. Tetapi mereka tiba-tiba lupa kepada sejarah apabila ia menyentuh tentang hak-hak asasi Sabah dan Sarawak Mereka seolah-olah lupa kepada Perjanjian Malaysia.
Jika ada di kalangan kita yang mahu Sabah dan Sarawak mengikis sikap parochial dan kenegerian, kita di Semenanjung juga tidak boleh bersikap parochial dan tidak lagi memandang rendah kepada kedua-dua negeri itu. Apabila semua pihak bersetuju untuk membuang sikap memperjuangkan satu kaum atau satu negeri dan akhirnya bersikap terbuka menerima pandangan orang lain, hanya pada saat itu kita akan benar-benar merdeka sebagai satu entiti yang bernama Malaysia.

Sabah Terus Terpinggir

Setelah hampir 50 tahun Sabah menyertai Malaysia, negeri Sabah masih terus kekal negeri termiskin di negara ini. Dengan kadar kemiskinan sebanyak 16%, sebahagian rakyat negeri Sabah masih hidup seperti di zaman pra kemerdekaan. Bayangkanlah disaat orang lain bercakap akan kehebatan media baru seperti facebook, blog, twitter, youtube dan email, masih ada rakyat di negeri ini terkial-kial meneruskan kehidupan tanpa bekalan letrik, tanpa bekalan air bersih, tanpa jalanraya berturap malah anak-anak mereka tercicir daripada arus pendidikan negara atas faktor kemiskinan.
Sehingga hari ini masih banyak bangunan sekolah dalam keadaan daif, kerusi meja yang usang dan rosak, dinding dan syiling yang menunggu masa untuk runtuh, masalah kekurangan bilik darjah, masalah kekurangan guru, masalah ketiadaan rumah guru, masalah tiada asrama, masalah tiada kemudahan dan kelengkapan pendidikan seperti makmal, pusat sumber dan pelbagai lagi masalah yang terus berulang setiap tahun.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi telah membuat lawatan selama tiga hari ke lima buah sekolah di pedalaman Pensiangan yang hanya boleh dikunjungi melalui jalan darat dan tiga batang sungai dengan menaiki bot.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah isteri Puad, Dr. Rubiah Leman, Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhidin Yusin, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk dan rombongan dari kementerian.

Di SK Tinanduk (gambar – kiri) hanya mempunyai satu blok bangunan lama yang diperbuat daripada kayu. Bangunan kayu tersebut menempatkan dua bilik darjah dan sebuah bilik guru selain tidak memiliki apa-apa kemudahan lazimnya bagi sekolah termasuk padang atau bilik sumber. Disitu Puad melihat sendiri sebuah bilik darjah yang dibina oleh orang kampung dan guru.
Puad mengakhiri lawatan beliau ke SK Saliliran. Untuk sampai ke SK Saliliran, rombongan perlu menggunakan laluan sungai sebelum berjalan kaki selama lebih enam jam bermula dari pengkalan Kampung Sinipar melalui jalan hutan.
“Saya terbaring dalam lumpur sebanyak empat kali akibat keletihan. Ini adalah pertama kali saya berjalan dalam hutan pada waktu malam, perjalanan ini membuatkan saya hampir pengsan,” kata Puad.
Rombongan beliau sampai ke sekolah tersebut walaupun tersesat kira-kira pukul 12 malam dan disambut oleh penduduk kampung dan murid-murid yang masih lagi lengkap dengan pakaian sekolah.
Inilah hakikat dialami oleh rakyat Sabah di bumi merdeka. Apapun alasan yang diberi hakikatnya selepas 47 tahun kerajaan BN gagal menyediakan keperluan dan kemudahan asas kepada kepada rakyat Sabah.
Amat malang Sabah adalah salah sebuah negeri pengeluar petroleum Negara. Malah Sabah adalah pengeluar minyak sawit terbesar negara tetapi agak malang negerinya masih kekal negeri termiskin. Kemana perginya semua hasil kekayaan semulajadi negeri ini? Kenapa hasil kekayaan sumber asli ini tidak dapat membantu rakyat negeri ini keluar dari kepompong kemiskinan?
Kita masih ingat sewaktu kempen UMNO dan Barisan Nasional semasa pilihanraya negeri 1994, BN menjanjikan Sabah baru yang serba indah. Diantara janji BN ialah Universiti untuk Sabah, 100 hari pembangunan, sifar kemiskinan, sifar buta huruf dan jalanraya berturap.
Namun selepas 14 tahun berlalu, penduduk diluar bandar masih menanti semua janji-janji Sabah Baru. Manakala penduduk Bandar terus dihimpit dengan masalah kos sara hidup yang tinggi sehinggakan rumah bersaiz 500 kaki persegi mencecah lebih RM 140,000 sebuah.
Maka apa makna Sabah negeri simpanan tetap Barisan Nasional sedangkan masih ramai warganegara negeri ini hidup dengan kualiti hidup seperti negara dunia ketiga? Bagaimana pula dengan keadaan negeri Sabah pada tahun 2020 nanti ketika mana Malaysia sudah mencapai status Negara maju sedangkan masih ramai rakyat Sabah hidup terpinggir?

Kenapa Rakyat Sabah Tidak Terbela?

Sabah, sebagai sebuah negara bekas jajahan British mendapat hak kemerdekaan mereka pada Ogos 31, 1963 dan kemudiannya, pada September 16, 1963 ia bergabung dengan Malaya, Singapura dan Sarawak bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia.

Sewaktu pemasyuran kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Sabah kini bebas dan tidak lagi menjadi sebahagian jajahan British. Rakyat Sabah pada waktu itu bergembira akan perisytiharan Sabah dan sudah tentu kemerdekaan sedemikian menjanjikan rezeki yang melimpah ruah bagi generasi mendatang.

Sebenarnya Sabah sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli – petroleum, gas, pembalakan, baja, tanah pertanian dan potensi pelancongan.

Dengan populasi sejumlah tiga juta, Sabah sepatutnya menawarkan pelbagai ruang pembangunan dalam sektor-sektor yang dinyatakan. Tetapi, apa yang nyata ialah Sabah hari ini sebuah negeri termiskin (berdasarkan laporan Rancangan Malaysia).

Kayu-bayu balak ditebang secara rakus tanpa pengurusan pengelestarian yang cekap.

Lebih daripada lapan peratus pembangunan tanah pertanian bagi perladangan kelapa sawit dimiliki oleh syarikat dari Semenanjung Malaysia.

Sabah merupakan pegeluar sumber ketiga terbanyak di Malaysia, yang mana ia menghasilkan 60% daripada pengeluaran datangnya dari negeri itu iaitu kira-kira 73,000 tong sehari.

Persoalannya: Mengapakah Sabah menduduki antara tangga tertinggi dalam kadar kemiskinan rakyatnya? Adakah negeri itu tidak mendapat bahagian mereka daripada kekayaan tersebut atau menjadi mangsa kepada pengurusan yang salah atau kedua-duanya sekali?

17 April 2009

Pemimpin Baru Harapan Baru

Peralihan kuasa pemimpin negara berjalan lancar mengikut perancangan yang telah ditetapkan dan tiada sebarang masalah yang tidak diingini berlaku. Seperti yang telah dijangkakan Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah taat setia di hadapan Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri yang keenam selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pelantikan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri yang baru seolah-olah memberi harapan baru kepada rakyat agar dapat meneruskan agenda pembangunan untuk kepentingan rakyat. Rakyat sangat berharap bahawa apa yang diimpikan selama ini akan menjadi kenyataan. Sebelum mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Datuk Seri Najib telah memberi harapan awal kepada rakyat melalui pembentangan bajet mini yang secara jelas menjurus kepada kebajikan rakyat. Apa yang rakyat harapkan ialah rakyat dapat menikmati nikmat pembangunan yang lebih menyeluruh terutamanya rakyat yang berada diluar bandar. Rakyat luar bandar di negeri Sabah misalnya sangat mengharapkan kemudahan infrastruktur yang terbaik setanding dengan negeri-negeri di semananjung. Jika dibandingkan Sabah dan Sarawak dengan negeri di semananjung kedua-dua negeri ini jauh ketinggalan. Oleh itu tibalah masanya kemudahan-kemudahan kampung seperti jalan raya, air bersih dan elektrik di negeri sabah dan sarawak dinaiktarafkan sepenuhnya.

21 Mei 2008

UMNO Di Landa Tsunami Lagi

Kejayaan Parti Pembangkang menawan lima buah negeri dalam PRU12 baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada BN seolah-olah BN dilanda Tsunami. Tidak cukup dengan kekalahan itu satu lagi satu lagi tamparan yang hebat terpaksa dihadapai oleh BN seterusnya UMNO berikutan pengumuman Tun DR. Mahathir keluar dari keahlian UMNO. Berikutan dengan pengumuman Tun itu satu lagi masalah yang besar telah dihadapi oleh BN untuk menawan hati rakyat dalam kekalutan yang sedang melanda negara sekarang ini iaitu krisis kenaikan harga beras yang mesti ditangani dengan segera. Kerajaan harus memandang serius perkara ini kerana dengan tindakan Tun keluar dari UMNO tidak mustahil ada ahli UMNO yang lain akan mengikut langkah beliau kerana walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan tapi beliau masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan ahli UMNO yang lain. Begitu juga dengan krisis kenaikan harga beras, masalah ini harus ditangani dengan segera kerana jika masalah tidak dapat diselesaikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan hilang kerana mereka menganggap kerajaan tidak bijak menangani masalah rakyat, dan tidak mustahil Tsunami yang lebih dahsyat pasti akan berlaku pada PRU13 nanti apabila rakyat berpakat untuk mengundi parti pembangkang. susah atau senang kerajaan mesti menyelesaikan masalah ini walaupun ini adalah masalah global. Berikutan dengan tindakan Tun keluar dari UMNO ini sedikit sebanyak telah memberi peluang yang terbaik kepada pihak pembangkang untuk merealisasikan cita-cita mereka untuk menubuhkan kerajaan sekiranya ada ahli UMNO dan BN yang mengikut langkah Tun keluar dari UMNO. Yang pasti pihak pembangkang sedang bergembira dengan tindakan Tun ini ditambah lagi dengan permintaan Sabah dan Sarawak yang mahukan mereka diberi peranan yang lebih dalam kabinet persekutuan. Oleh itu teguhkan Barisan jangan sampai pihak pembangkang dapat membolosinya.

10 Mei 2008

PTK Relevenkah Tidak?

Pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan awam adalah bertujuan untuk menggalakkan kakitangan awam mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Ini merupakan cadangan yang baik dan boleh diterima umum. Tapi selain itu PTK juga bertujuan untuk dijadikan batu loncatan kepada kakitangan awam untuk dinaikkan pangkat bagi yang mencapai keputusan yang tetapkan. Jika keadaan ini diambil kira, saya rasa pelaksanaan PTK tidak releven kerana ia akan meminggirkan kakitangan yang tidak mencapai tahap yang disyaratkan terutama bagi mereka yang telah berkhidmat. Sebenarnya banyak lagi cara lain boleh digunakan untuk syarat kenaikan pangkat seseorang kakitangan awam. Tempoh perkhidmatan dan sumbangan itu rasanya yang paling penting untuk syarat kenaikan pangkat.Permintaan CEUPAC baru-baru untuk menghapuskan PTK harus diambil kira. Walaupun kerajaan secara umumnya telah mempertimbangkannya tapi keputusannya belum diketahui lagi. Jadi diharapkan apa keputusan yang akan diambil nanti biarlah adil dan boleh diterima.